Posts

Showing posts from 2011

MAJLIS KHATAM HUFAZ AL-QURAN 2011

Image
                                                      20 pelajar hufaz bersama tuan guru Haji Abdul Rahman dan tuan guru Haji Muchtar           Para Jemputan bersama YB Yazid dan Pengetua Hj. Ismail           Tuan Guru Datuk Abdul Rahim menerima cenderamata daripada YB Yazid Muhd Amirul Fitri menerima cenderamata Muhd Amirul Fitri pelajar cemerlang akademik dan Hufaz 30 Juzuk     Muhammad Darwisy pengerusi badan Dakwah (BADAR) dan hufaz 30 Juzuk

DATANGILAH RUMAH ITU

Engkau langkahkan kakimu ke rumah Baitullah yang pasti engkau mencari keredaan Allah Rabbuljalil mencari ruang tafakkur dan ruang zikir memuji kebesaran mencari cinta suci mencari kerinduan Rasullah kasihnya terpahat yang tak pernah terbayang di ruang mata cuma merasa bertapa dekatnya kecintaan bagai laut yang salju dengan angin mendayu. Setelah engkau huni Masjid Nabawi dengan empat puluh waktu dengan air mata rindu yang tidak pernah padam apakah rindumu masih jauh atau semakin dekat hingga tak mampu tubuh menanggungi kasih yang bersemi atau semakin jauh dengan ketebalan kedegilan abu Lahab dan abu jahal nafsu amarah dan lawamah yang membungkam pada kalbu yang kelam. Seandainya telah engkau temui embun cinta maka bertasbihlah memuji-Nya dan lafaskan kalimah "Labaikallahu Malabbaik Labbaikala sarikalakalabaik Innalhamdah Wannikmata Lakwallahmuk Lasarikala" pasti kerinduan berabad pasti terubat pasti mimpi kasih terlerai dengan manik-manik kesayuan. Ka...

DIA YANG PERGI

setelah pemergian salam sambut pasti tiada lagi semilir meniup kenangan yang entah bila hadir pasti menggingatkan kembali saat-saat kehadiran senyum ramah dan tawa hanya wajah yang terbias pada cermin kehidupan. pastinya rakan yang pergi hanya meninggalkan pelabuhan hidup yang berpindah dari pelabuhan dunia ke pulau kekal abadi dan tasbih yang mampu bergerak ke dalam balang kaca barzah yang menjaganya adalah ketentuan Allah. kita yang tinggal akan meneruskan perjalanan pada layaran yang tak tahu sempurnanya atau terkoyakkah pada perjalanan musafir duniawi menuju lorong dan lohong dalam fikrahkah atau luar jendela yang tahu hanya Rabbulizzati. Amin! (Puisi ini saya titipkan setelah salah seorang rakan semasa bersekolah menemui Illahi) Selamat Bersemadi Rakanku Moga Allah mengampuni.

Pertemuan Denganmu Sahabat

Sajak ini saya rakamkan sempena pertemuan dengan sahabat yang berada di Tawau Sabah yang sudah 30 tahun saya tak temui. Buat Hadi dan Burhanuddin Salam kasih untukmu sahabat dulu kita pernah bersama berbicara dan ketawa dulu kita sama-sama menegakkan hujah untuk menang dalam berkata untuk menang dalam bercerita. Salam kasih dalam angin menghembas laut sulu yang damai dengan balamnya pulau aku mencari tapak dan wangian salam dan pertemuan sebentar itu memberikan makna tentang kasih yang terlupa bertaut dalam pencarian yang terbuka aku mendakap tubuh yang lewat 50an dalam usia yang semakin layu. Salam, kasih pertemuan ini moga terpanjang hingga hayat terkubur dengan doa talian saudara dipanjangkan dengan talian sutera Allah AMIN! Park Royal Tawau Sabah.

Kembali Menapak Jalanan Pulang

Setiap tiba waktu kita kembali menapak jalan pulang jalan yang telah kita tempah dengan kehendak dan jiwa kadang-kadang jalan yang kita tempah dengan nafsu tanpa sedar meletakkan diri dalam susur kepayahan melalui alur dan denai meletakkan diri pada haluan yang kehilangan kompas tujuan. Kepada anak-anak pastikan jalan pulang anda benar pada tuju tujuan hidup yang bersih dengan cahaya yang jernih pastikan pakaian yang anda pakai adalah pakaian yang putih membawa bekal jutaan zikir dan jutaan tasbih yang dinyanyikan berkumandang tiap helaan dan lepasan nafas. Kepada diri, aku berterima kasih kerana nafas masih bergelombang mulut masih mampu berkata...pada kata yang cukup awas dalam tapis kekadang tercelupar juga tanpa sedar takut menyakiti hati manusia takut menyakiti hati ummah, takut berdosa aku pada yang Maha Esa. Tuhan tunjukkan aku jalan pulang yang terang Tuhan tunjukkan aku jalan pulang yang benar Tuhan yang menguasai hari terakhir Barak Allah.

Sudah Lama Kutinggalkan

aku menyambung kembali setelah lama kutinggalkan aku merungkai kembali kata-kata aku merakamkan kembali jiwa aku mencatatkan kembali nafas puisi setelah antologi puisi KEMBARA MALAM siap tercetak Kepada; anak pelajar dan rakan anda boleh hubungi saya untuk mendapatkan antologi ini dengan harga RM 5 dalamnya terkandung rasa rindu kepada Allah, Rasulullah, Ibu bapa dan suasana alam dalam pengalaman merantau dari Labuan ke Segamat dan kembali ke negeri asalku.

Masa-masa Penantian

aku tidak mahu lagi bermain dengan rasa. Biarlah rasa dan gundah itu pergi meninggalkan peristiwa yang mengores atau mecantikkan kehidupan kerana semua itu adalah pengajaran dan amaran.  Lalu kadang-kadang kembara ini menyebabkan kita sering menjadi penakul dalam penantian yang panjang  Waktu ini tepat 12.30 malam 2 Februari Detik-detik penantian lama terasa bagai siang menanti malam bagai malam tiada kesudahan. Jauh untuk sampai perspektif akhir yang muktamad dalam perlumbaan membuat aku rindu dalam syahdu. Detik-detik penantian menyelubungi tubuh bagai hujan di luar jendela waktu pagi menghalang kehadiran tugas jua bagai hujan jatuh ke batu menghakis tubuh yang kesejukan. Detik-detik penantian sunyi terasa pagi mendatang adalah petang mentari sinar memancar perit bagai malam bulan suram mengamit membawa aku ke laut tiada kesampaian Harian Eskpress Labuan

Menangguh Mimpi ( Puisi buat rakan dan anak-anak)

Kehadiran pagi menginjak bumi kutangguhkan mimpi dengan pamit selamat tinggal meniupkan angin menyendiri resah yang kembali salju pun tidak terasa kesegarannya salju hati sedang membuak memecahkan bongka rasa bungkalan hati memecahkan ketenangan batu akal yang berderai dek pukulan tumpah mengenai kalbu yang parah. Cerita semalam jangan lagi kita bicara pada sebuah keluarga yang harmoni dengan gurau tawa usik mesra ceritera semalam bukan lagi igauan manis dalam sebuah batil susu yang dikecap minum bersama dengan ucap semanis madu tualang yang diturunkan waktu petang. Setiap tengah hari menyemenda di sini kesendirian adalah pemencilan yang dipaksa tentang malam yang sudah berlalu sedang panas yang membakar menerbitkan bahang suria dalam redup sedang hujan sudah lama tiada turun membasahi bendang hati yang merekah tanahnya. Usahlah hati berbicara lagi tentang mimpi manis tawa dan riang anak-anak mulai lenyap aku semakin mencuba meninggalkan sutera keriangan pa...

MEMASUKI LAMAN MUSLIMIN

Dalam rembas angin sejuk hujan renyai kesyukuran menerpa menghias siang memeluk tubuh yang membinggung terpaku pada kehebatan anak menghafaz ayat suci berdengungan menusuk ruang rongga telinga yang segar. Menjadi terkedu aku dalam nian siang memangku tangan yang akal merenung pada syiling madrasah bahawa aku sangat kerdil dengan baris ayat-ayat yang besar  berupaya dihafal anak-anak yang kerdil tubuh tapi besar jiwanya. Mungkinkah aku lagi kerdil dengan anak itu sedang Allah cukup besar untuk di wayangkan pada fikir akal kerana perabung langit tak mampu digapai tangan tak mampu dibaca dengan makna minda. Apakah aku akan dihina di hadapan Illahi kerana kerendahan ini tersirat dalam kandil hati yang nyalanya membiah pada malam iman yang samar. Ya...Rabbi Ampunilah Hambamu ini. 11.25 malam 01 februari 2011

Harapan kepada anak-anak

Kembara malam kuhentikan sebentar kerana coretan sajak ini adalah sajak yang kutujukan kepada anak-anak pelajarku kerana aku terpaksa berpindah ke sekolah lain. Bukan kerana tidak menyayangi anda tetapi itulah lumrah kehidupan namun yakinlah kenangan dan pengalaman tetap menjadi sebati dihati kita. Mekar pucuk hijau muda Kilatan seri disinari mentari Sejuk menatap hatinya yang bersih Merembaskan cerminan jiwa anak-anak Pada hati yang beku dan kematu Pada dadaku yang sebu Desak suasana angin pijar Menyentuh maruah. Harapan itu bermain pada ruas-ruas urat citamu Mengalirkan darah semangat pada jantungmu Yang kekeringan hembasan salju embun ilmu Pada kalbu yang kontang Pada akalmu yang gersang. Namun, anak Aku tidak mampu lagi membajai daunanmu Setiap kali kulangkahi tapak semaian Duri-duri dan semalu Mencucuk dan melelas Membakar cita dan harapanku. Pastinya penganti Akan lebih tahu membelai rambut ikalmu Kerana usianya lebih remaja Dan aku sudah tekad Membel...

SEBUAH PEMBERIAN

SETELAH MENAMATKAN PENGAJIAN PERGURUAN AKU DIHANTAR KE SABAH. PENGALAMAN MENJADI PEMIMPIN PELAJAR DI MPSI DAN KURSUS KEPIMPINAN YANG AKU HADIRI MENYEBABKAN DIRIKU MENEBAL DENGAN SEMANGAT DAN KEKUATAN ROHANIAH DAN ALAMIAH UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK-ANAK BUMI DI BAWAH BAYU. SEMUA INI AKU TERIMA DENGAN REDHA ATAS PEMBERIAN ALLAH. SEBUAH PEMBERIAN Lautan yang diberikan padaku ombaknya bertebaran gelombangnya menjulang menjilat fajar mematikan langkah-langkah ketenangan pada laut yang bertebaran mega. Bumi yang diberikan padaku kemuncaknya merapi menyala tanahnya merekah datarannya penuh pepasir bagai sahara bahang berbisa. Langit yang diberikan padaku wajahnya mengamit potret gelap menutup sinar cahaya tirai malam gelisah. Bulan yang diberikan padaku suram duka dilayar bahtera. Cuma mentari yang tetap di tapaknya merangkul kekeringan merakam kepanasan mengabadikan kengerian di lembah yang tiap kali bicara ianya sebuah pemberian. Akhbar Harian Ekspres 19 febr...

BICARA DENGAN TUHAN

PERJALANAN PANJANG INI AKAN SAYA MULAKAN PADA TAHUN1981 DI MANA SAYA TELAH LAZAT BERJINAK DENGAN DUNIA PENULISAN YANG SERING MENDEKLAMASI PUISI DAN MENGERAKKAN TEATER DALAM MENYAMPAIKAN PUISI.  PUISI INI ADALAH PUISI YANG TELAH SAYA CATATKAN DALAM MAJALAH CENDERAMATA MPSI DAN TELAH DITERBITKAN DALAM AKHBAR HARIAN EKSPRES 20 SETEMBER 1986 Bicara dengan Tuhan Tuhanku aku mencariMU sampai aku sendu bermiditasi. Tuhanku janjiku...amalanku...hidupku...kerjaku cuma untuk-MU cuma kerana-MU tiada lain selain dari-MU Tuhanku dalam perjalanan pandanganku patah terkulai dahan daunan layu terpedaya aku dengan angin menderu bertiup sayu aku terkulai kaku. Tuhanku...ku cari-MU di langit, di bumi, di mentari, di bintang di kamar diri ku temui-MU di pagi berseri sebagai kekasih-MU yang lama merindu Tuhanku peganglah tanganku erat-erat peluk usaplah kekasih-MU ini dengan janji setia...aku mengerti. Tuhanku cinta yang terbina kini bersemi satu dalam bicara syahd...

KEMBARA MALAM

Kujenguk kamar dunia menggamit bintang bulan menghitung satu-satu mengejar sinar suram pada syiling-syiling langit mentafsir menilai keserasian pada atur edarnya. Siapa pengatur siapa pembina tiada suatu pun sengketa kuturuti dalam kabus malam khatulistiwa bila kamar hati membuak resah ingin bertemu mencari-Nya. Kudakap tahajuj dan hajati mendakaplah rona-rona malam yang gementar sedang mata jalang masih membeliak mengheret pemerhatian pada pohonan samar-samar jua ke muka laut riak-riak air berdesir mencekik fikiran memecah kebuntuan pada kejadian di balik kelam suram dalam kembara malam. Al-Islam Januari 1987 Labuan. puisi ini dirakamkan semasa aku bersendiri mencari kehebatan Tuhan dalam tahajuj dan kemuncak kembara ini adalah hasil perjalanan panjang merentasi Laut Cina, Selat Melaka, dan Laut Andaman.  Aku kembali ke daerah terpencil ini menghuni dan mengajari anak-anak felda mencari erti kehidupan.

PERMULAAN

Blog ini dihasilkan bagi menyematkan hasil karya saya. Semoga KEMBARA MALAM ini memberi manfaat buat semua. ~RANI EMBI